alghazi الغازى: Kelebihan Rejab

Monday, February 18, 2008

Kelebihan Rejab

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “ Bulan Rejab bulan Allah, bulan Syaaban bulanku dan bulan Ramadan bulan umatku.”

Kemuliaan Rejab dengan Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam nisfunya dan Ramadan dengan Lailatul Qadarnya

Diriwayatkan Ibnu ‘Asyaakir, dari Abu Umamah, sabda nabi saw: “Antara malam yang tidak ditolak doa padanya iaitu doa di awal Rejab, malam aidil Fitri dan malam aidil Adha.”

Maksud Sabda Baginda saw dalam hadis yang lain: “ Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.”

"Bahawa dalam syurga terdapat sebuah sungai yang dinamai ‘Rejab’ yang airnya lebih putih dari susu, lebih dingin dari ais, lebih manis dari madu, maka sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, Allah mengurniakan minuman daripada sungai tersebut". (maksud hadis)

Di bulan Rejab ini kita dituntut supaya banyak berdoa, beristighfar, memohon keampunan, dilipatgandakan amal ibadat serta berbakti kepadaNya.

Berikut secara ringkas diperturunkan kelebihan bulan Rejab. Moga-moga dengannya sedikit sebanyak meruntun diri kita untuk merebut kelebihan yang hanya setahun sekali diberikan peluang kepada kita.

  1. Malam awal Rejab mustajab doa yang dipohon. (Kitab Raudhoh Imam Nawawi)
  2. Puasa sehari dalam bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus)
  3. Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.
  4. Puasa tiga hari dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan dia ke neraka.
  5. Puasa empat hari diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar serta mengelak daripada fitnah dajal di hari kiamat.
  6. Puasa lima hari, aman daripada azab kubur
  7. Puasa enam hari, keluar dari kubur dengan wajah yang bercahaya.
  8. Puasa tujuh hari ditutup tujuh pintu neraka.
  9. Puasa lapan hari dibuka lapan pintu syurga.
  10. Puasa sembilan hari, keluar dari kubur lalu mengucap dua kalimah syahadah, maka tidak ditolak dia dari memasuki syurga.
  11. Puasa sepuluh hari dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas titian Sirotalmustaqim di hari kiamat.
  12. Puasa 16 hari dapat melihat wajah Allah dalam syurga.
  13. Puasa 19 hari dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.
  14. Puasa 20 hari diampunkan dosanya yang telah lalu.
  15. Puasa awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperi puasa sebulan pahalanya.
  1. Orang yang tidak mampu berpuasa di bulan Rejab, perbanyakkanlah bersedekah.
  2. Bersedekah di bulan Rejab, dijauhkan Allah dari api neraka.
  3. Barangsiapa yang beristighfar (memohon ampun) kepada Allah pagi dan petang 70 atau 100 kali, pada bulan Rejab diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
  4. Sesiapa berpuasa sebulan bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:”Telah wajib hakmu atasKU, maka mintalah olehmu atasKu. Demi ketinggianKu dan kebesaranKu, tidak aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu di bawah ‘arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antara kau”. (Dari kitab Raudatul Ifkar)
  5. Puasa 27 Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari Israk-mikraj.
  6. Sesiapa yang melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah mahligai dalam syurga Firdaus.
  7. Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada Rejab dan beribadat pada malamnya, seperti berpuasa tiga ribu tahun. Diampunkan baginya 70 dosa besar, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa daripada jasadnya, 70 hajatnya dalam kubur, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaikkan ketika berlalu di Titian Sirot.)

REJAB bulan menabur benih. SYAABAN bulan menyiram tanaman. RAMADAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya. SYAABAN menyucikan hatinya. RAMADAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat. SYAABAN bulan muhibbah. RAMADAN dilimpahi pahala amalan.

Beramallah menurut kemampuan masing-masing, jika tidak dapat melaksanakannya, janganlah ditinggalkan semuanya. Yang penting keikhlasan kepadaNya.

Labels: